Johor Sasar Tiga Terbaik SUKMA 2026, Persiapan Rapi Digerakkan - Exco
JOHOR BAHRU, 8 Jun (Bernama) -- Johor menyasarkan kedudukan tiga terbaik dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor yang dijangka berlangsung pada Ogos.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata kesemua persatuan sukan telah diarahkan untuk membuat persediaan awal bagi menghadapi temasya berkenaan.
“Saya telah meminta semua persatuan agar tidak menunggu arahan untuk memulakan persediaan. Seperti ditekankan kerajaan negeri, kita perlu menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam aspek pembangunan atlet dan hab sukan.
“Sasaran kita sudah tentu berada dalam kelompok tiga terbaik, tetapi jika muncul juara, itu adalah satu bonus,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Ibadah Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan Johor menghadapi SUKMA 2026 di Selangor.
Johor muncul juara keseluruhan SUKMA 2022 buat kali pertama dalam sejarah penganjuran temasya itu sejak 36 tahun, dengan kutipan 77 pingat emas.
Sementara itu, Mohd Hairi berkata pelbagai acara sukan bertaraf antarabangsa bakal diadakan di negeri itu termasuk Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor.
Beliau berkata Johor komited untuk menjadi sebuah Sport Nation menjelang 2030, selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, semasa pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, baru-baru ini.
“Tunku Mahkota Ismail bertitah agar Johor menjadi Sport Nation menjelang 2030. Ia satu amanah yang cukup besar buat saya dan pasukan untuk meletakkan Johor di mata dunia dan Malaysia amnya.
“Negeri di selatan tanah air ini perlu menjadi contoh dari segi fasiliti, infrastruktur, atlet, pembangunan insan dan akademik, sekali gus menjadi tarikan kepada pelabur,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 32 ekor lembu sumbangan pelbagai pihak termasuk kurniaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan diagihkan kepada lebih 500 penduduk DUN Larkin, terutama golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.
-- BERNAMA