Pemberian Insentif Bakar Semangat Atlet Para SUKMA Melaka

fb Innotex
14/02/2025 07:17 PM

MELAKA, 14 Feb (Bernama) -- Kejayaan merangkul dua pingat emas dan satu perak pada percubaan sulungnya di temasya Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) Sarawak 2024 menjadi pembakar semangat buat atlet para tenpin boling Muhammad Mulhim Md Jani untuk mempamerkan aksi lebih cemerlang.

Muhammad Mulhim, 30, berkata pencapaian itu berkenaan bukan sahaja hasil usaha dan kerja kerasnya ia juga berkat sokongan moral tidak berbelah bahagi daripada pengurus, jurulatih, pengiring dan ahli keluarga.

Anak kelahiran Bemban, Jasin itu kini giat menjalani latihan secara intensif bersama ahli pasukannya sebagai persiapan untuk temasya Para SUKMA 2026 di Selangor.

"Bagi saingan di Para SUKMA Selangor 2026, saya menyasarkan untuk mengekalkan pingat yang diperoleh," kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Para SUKMA Negeri Melaka di sini hari ini.

Muhammad Mulhim yang merupakan orang kurang upaya (OKU) tangan kiri itu menerima insentif RM10,000 daripada kerajaan negeri atas kejayaan pada Para SUKMA Sarawak 2024.

Sementara itu, pemenang tiga pingat emas dan satu perak sukan renang Ong Jia Xuan, 21, berkata Para SUKMA Sarawak 2024 merekodkan pencapaian terbaiknya sepanjang penglibatan dalam temasya sukan berkenaan yang masuk kali ketiga.

Atlet OKU tangan kiri itu memperoleh pingat emas bagi kategori renang 50 meter (m) gaya bebas (wanita), renang 100 m gaya kuak dada (wanita), renang 100 m gaya bebas (wanita) manakala pingat perak bagi acara renang 100 m gaya kuak lentang (wanita).

"Pada Para SUKMA tahun hadapan, saya berharap akan dapat semua pingat emas untuk semua acara renang yang saya sertai," katanya yang menerima insentif berjumlah RM18,000. 

Kerajaan negeri turut menyalurkan insentif berjumlah RM99,775 kepada 20 atlet, pengurus pasukan dan jutulatih yang berjaya membawa pulang pingat pada temasya Para SUKMA 2024.

-- BERNAMA